Program Tanggungjawab Sosial Korporat

Jabatan Bahasa Inggeris (JBI) baru-baru ini telah mengadakan satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Badang, Bachok Kelantan pada 17 September dan 24 September 2020. Program ini melibatkan pelajar-pelajar tingkatan 5 sekolah tersebut iaitu seramai 104 orang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang dijadualkan pada suku pertama tahun 2021. Selain daripada objektif untuk meningkatkan minat dan motivasi pelajar terhadap mempelajari dan menguasai Bahasa Inggeris; antara tujuan utama program CSR ini diadakan adalah untuk memberikan peluang kepada ahli akademik JBI untuk berkongsi kepakaran dan kebolehan dalam pelbagai bidang seperti Bahasa Inggeris, motivasi serta kepimpinan disamping memberi peluang kepada mereka untuk menggilap mutu dan meningkatkan profesionalisme dalam usaha untuk menyumbang kearah pembangunan masyarakat setempat. Selain daripada itu, ahli akademik JBI juga berpeluang untuk menjalankan penyelidikan sosial dan melakukan inovasi dalam pendekatan CSR ini untuk dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat terutamanya untuk masa hadapan. Pengisian progam CSR kali ini banyak memfokuskan dan memberi penekanan kepada aspek penulisan dan komunikasi dalam Bahasa Inggeris. Antara aktiviti yang dijalankan  adalah Impromptu-speech, ACB Games, Paragraph Writing, Balloon Toss, Jumble Trouble dan Hunt & Arrange. Adalah diharapkan program seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi keyakinan para pelajar dan dapatan kajian ini kelak dapat memberi manfaat kepada penyediaan kaedah yang lebih mesra pelajar untuk mempelajari Bahasa Inggeris pada masa hadapan.